Pernah saya terdengar dalam satu ceramah politik yang berbunyi begini ," Saya ni betul-betul ikhlas nak bantu penduduk di sini ." Ikhlas datang dari sudut hati yang rendah diri dan jujur. Sukar kalau kita mahu mengukur dan menilai kejujuran dan keikhlasan orang lain. Hanya Tuhan dapat buat penghakimannya.
Kejujuran dan keikhlasan sepatutnya dijadikan sebahagian daripada kesopanan dalam berpolitik. Tetapi apakah ada kesopanan dalam berpolitik kerana kita sering dengar mengenai istilah sepak terajang dalam politik. Jadi kalau dah ada yang sepak terajang dalam politik, mana kesopanannya. Orang yang bersopan dilihat oleh ramai pemimpin dan penyokong parti sebagai lembik. Untuk tidak menjadi lembik, ketika berkempen, kita mengutuk dan memperlekeh orang lain untuk mendapat sokongan dan tepukan gemuruh hadirin.
Di Kelantan, untuk menjadi tokoh politik yang disegani atau lebih cocok lagi di geruni, pemimpin mesti datang dari golongan gedebe. Apakah itu boleh menyemarakkan lagi aura pemimpin ?Orang Melayu semakin hilang budayanya bila berpolitik. Ada pula orang akan menjuihkan bibir mereka, kalau takut dipukul ombak jangan berumah di tepi pantai. Kalah lah kita kalau kita berjalan tunduk, senyum tersipu sedang lawan kita memaki hamun. Dalam Islam digalakkan kita diam sahaja kalau kita tidak mempunyai apa-apa yang mahu kita katakan mengenai seseorang.
Kita digalakkan memberi salam, Selamat Sejahtera Ke atas Kamu. Kita mendoakan kesejahteraan orang lain. Kalau sudah selalu memberi salam, sepatutnya hati kita terdorong kepada niat untuk melihat orang lain juga turut bahagia, bukan sengsara atas fitnah dan tohmahan yang kita buat.
Tetapi sayangnya politik bukan medan untuk keikhlasan tetapi lapangan tempur yang menakutkan. Orang Melayu perlukan politik tetapi politik yang boleh menyatukan mereka bukan memecahbelahkan integriti warisan zaman berzaman. Jangan kita terlalu selesa kerana sampai di satu ketika kita menangis sesal kerana terlanjur menjual maruah dan hak kita kepada orang lain.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment